MADRID 31 Okt. – Gelson Martins menjaringkan gol pertamanya bersama Atletico Madrid untuk membantu skuad kendalian Diego Simeone menewaskan kelab divisyen keempat, Sant Andreu 1-0 dalam pusingan keempat Copa del Rey, semalam.
Martins memecah kebuntuan pada minit ke-33 selepas pemain sayap itu melakukan gerakan pantas untuk menembusi di bahagian tengah benteng pertahanan lawan.
Begitu pun, tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit terakhir namun penjaga gol Atletico, Antonio Adan menafikan percubaan Elhadji Bandeh dan Joan Noguera.
Dalam pada itu, Santi Mina yang kembali beraksi selepas cedera meledak dua gol untuk menewaskan Ebro 2-1.
Kelab divisyen ketiga itu terpaksa beraksi 10 pemain selepas Tiago Portuga mengutip dua kad kuning namun masih tidak menghalang mereka membuka tirai jaringan pada minit ke-62 menerusi Jon Amelibia sebelum Mina menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-71 dan ke-80 sekali gus mengelak daripada diaibkan. – REUTERS










