LONDON – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berterusan menyalahkan barisan pemainnya selepas tewas 1-3 kepada West Ham United pada aksi Liga Perdana England (EPL) di Stadium London malam kelmarin.
Kali ini, pemain sayap, Anthony Martial menjadi sasaran pengendali dari Portugal itu apabila didakwa bermain sambil lewa sehingga menyebabkan pasukan tuan rumah berjaya mengambil kesempatan menewaskan The Red Devils.
Mourinho mengakui beliau sentiasa mempertimbangkan untuk menurunkan Martial selepas beberapa kali didesak oleh penyokong, namun menganggap persembahan pemain Perancis itu langsung tidak memuaskan.
“Saya memang mahu turunkan Martial selepas beberapa kali didesak oleh penyokong dan anda semua (media). Saya membuat keputusan menggugurkan Alexis (Sanchez) dan memasukkan Martial dalam kesebelasan utama.
“Bagaimanapun, dia bukan seorang pemain yang mampu memberi fokus terhadap tugas bertahan. Saya beri Martial tugas selaku penyerang kedua kerana fikir dia mampu menggalas tugas dengan baik,” kata Mourinho.
Dalam pada itu, bekas pengurus Chelsea berkenaan memuji peranan yang dimainkan oleh pemain muda, Scott McTominay yang sentiasa menunjukkan sikap positif meskipun pasukan berada dalam situasi sukar.
Pada aksi tersebut, West Ham memperoleh tiga gol menerusi Felipe Anderson, Marko Arnautovic serta gol sendiri Victor Lindelof, manakala gol tunggal United dijaringkan pemain gantian, Marcus Rashford. – Agensi










