BURIRAM, Thailand 6 Okt – Pendahulu kejuaraan dunia MotoGP, Marc Marquez menempah petak utama dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal Thailand, esok, yang dianjurkan buat julung kali, manakala legenda Itali, Valentino Rossi di kedudukan kedua.
Juara bertahan itu mencatat masa terpantas l minit 30.088 saat (s), 0.011s lebih laju berbanding Rossi yang melakar masa sepusingan 1:30.099s, sementara Andrea Dovizioso melengkapkan saingan kelayakan, hari ini, di tempat ketiga.
Marquez yang memiliki kelebihan 72 mata di depan Dovizioso menjelang aksi sebenar, esok, di Litar Antarabangsa Chang, di mana dia mengintai peluang bagi mengukuhkan cengkaman untuk merangkul gelaran dunia buat kali kelima.
Bagaimanapun, Jorge Lorenzo yang tiba di sini dengan kecederaan kaki serta pengelangan tangan setelah terbabit dalam kemalangan sewaktu sesi latihan, bakal terlepas perlumbaan, esok, apabila dia menarik diri sebelum saingan kelayakan bermula.
Penganjuran sulung MotoGP di Thailand telah diadakan di kawasan luar bandar Buriram, yang mana perjalanan dari Bangkok mengambil masa selama beberapa jam dan hanya memiliki populasi kira-kira 30,000 penduduk. – AFP











