TOKYO 17 Okt. – Marc Marquez sedar pasukannya, Honda pasti gembira jika dapat merangkul kejuaraan MotoGP dunia di laman sendiri pada Grand Prix Jepun, Ahad ini tetapi pelumba Sepanyol itu tidak dapat memberi jaminan mampu melunaskan harapan tersebut.
Kemenangan di Motegi bakal mengesahkan kejuaraan dunia ketiga berturut-turut buat pelumba berusia 25 tahun itu, sekali gus menyamai pencapaian legenda Australia, Mick Doohan sebagai pelumba ketiga paling berjaya dengan lima gelaran kelas utama.
Hanya dua pelumba Itali iaitu Valentino Rossi (tujuh) dan Giacomo Agostini (lapan) berjaya merangkul gelaran daripada lima kejuaraan.
Marquez kini mengatasi pelumba Itali, Andrea Dovizioso dengan 77 mata, ketika saingan 2018 berbaki empat perlumbaan.
“Saya amat memahami betapa penting buat Honda meraikan sesuatu yang besar Ahad ini, namun, bukan mudah kerana Dovizioso sangat bagus, laju dan kompetitif.
“Kami akan cuba menang tetapi jika gagal, kami perlu pastikan mata dapat diraih kerana pada akhirnya sasaran kami ialah untuk berada di kedudukan teratas dunia,” kata Marquez di ibu pejabat Honda, semalam. – REUTERS










