PORT DICKSON 5 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Port Dickson sebagai ‘markas’ untuk membina semula karier politiknya.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson itu berkata, pada masa sama, beliau akan memberi keutamaan terhadap usaha menangani masalah rakyat dan warga tentera sekiranya diberi mandat oleh mereka kelak.
“Saya tak mahu janjikan apa-apa kerana saya patuh dengan peraturan ditetapkan bahawa kempen ini harus bersih tetapi jika diberi mandat tentu saya akan perhatikan permasalahan rakyat termasuk anggota tentera darat.
“Tugas saya sebagai tokoh kerdil yang mahu bermula semula setelah hidup dalam gelombang 20 tahun keluar masuk penjara, saya mahu bermula dari Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Warga Tentera Darat Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Terbuka, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun; Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Md. Tajri Alwi dan Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Reduan Omar.
Anwar turut menunaikan solat Jumaat serta beramah mesra dengan para jemaah di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Sementara itu, Aminuddin dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan menafikan bahawa kehadiran Anwar di Pusasda adalah untuk berkempen.
Beliau menjelaskan, Anwar datang ke Pusasda setelah bersetuju untuk menerima pelawaannya semasa mereka berdua bersarapan.
“Saya rasa tiada ucapan kempen pun, seperti undilah saya, tiada.. kehadiran beliau bukan untuk berkempen, saya rasa tiada apa-apa, ini jemputan peribadi,” katanya.










