SAINT-QUENTIN-EN-YVELINES – Mangsa bola ‘sesat’ pada saingan hari pertama Piala Ryder minggu lalu bakal menyaman penganjur kejohanan tersebut setelah dia disahkan kehilangan daya penglihatan pada mata kanannya.
Hasil imbasan, pihak perubatan mendapati bola mata mangsa wanita bernama Corine Remande itu pecah akibat terkena bola golf pukulan tee pemain Amerika Syarikat, Brooks Koepka yang padu ketika beraksi bagi lubang keenam.
Walaupun doktor berjaya menjahit semula bola matanya, namun Remande yang turut mengalami patah soket matanya mengesahkan bahawa penglihatan kanannya tidak lagi berfungsi seperti sebelum ini.
Justeru, Remande yang datang dari Mesir bersama suaminya, Raphael mahu mengenakan tindakan undang-undang ekoran kegagalan penganjur meletakkan pegawai untuk memberikan amaran awal sebelum pukulan tee dilakukan.
“Sudah tentu penganjur bertanggungjawab dalam hal ini. Para pegawai tidak menjerit untuk memberikan amaran sewaktu bola jatuh ke kawasan orang ramai. Saya akan bercakap dengan peguam tidak lama lagi.
“Saya sedih kerana selepas dihantar ke hospital, saya tidak dengar sebarang berita daripada penganjur. Saya mahu mereka membiayai semua bil perubatan untuk memastikan tiada sebarang risiko jangkitan sehingga kecederaan ini pulih nanti,” katanya. – Agensi











