Mana hilangnya Lim Teong Kim? - Utusan Malaysia

Mana hilangnya Lim Teong Kim?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Membawa diri mungkin ungkapan yang sesuai dikaitkan dengan ‘kehilangan’ Pengarah Akademi Bola sepak Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim selepas berakhirnya Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Bekas penolong jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu gagal menepati sasaran ke separuh akhir yang diletakkannya sendiri sekali gus menyaksikan Malaysia terlepas menempah slot automatik beraksi di Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-7) di Peru dari 17 September hingga 8 Oktober tahun depan.

Teong Kim, 55, telah dipecat serta-merta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pengendali skuad kebangsaan, beberapa jam selepas Malaysia gagal melepasi saingan kumpulan selepas tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A.

Sejak itu, bekas pemain kebangsaan kelahiran Melaka itu yang pernah menggalas tanggungjawab dalam membentuk beberapa pemain ternama Jerman masa kini antaranya Thomas Muller, Toni Kroos dan Philipp Lahm sepanjang 12 tahun di Bayern Munich bermula 2001, terus mendiamkan diri.

Legenda bola sepak negara dan senior kepada Teong Kim, Khalid Ali beranggapan tindakan tersebut adalah satu langkah tepat malah ia mencerminkan sikap profesional seorang jurulatih.

“Dia sudah hidup lama di Jerman dan sikapnya sama seperti jurulatih antarabangsa lain. Mereka (jurulatih antarabangsa) profesional. Itu apa yang sedang dilakukannya (Teong Kim) dan ia satu tindakan yang baik.

Teong Kim dipecat FAM selepas skuad B-16 Malaysia di bawah kendaliannya gagal ke separuh akhir KejuaTeong Kim dipecat FAM selepas skuad B-16 Malaysia di bawah kendaliannya gagal ke separuh akhir Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) AFC 2018. – Gambar fail

 

“Lepas apa yang berlaku, dia rasakan dirinya betul tetapi ada pihak yang menyalahkannya. Jadi dia tidak perlu bercakap perkara-perkara yang akan mengeruhkan lagi keadaan,” kata Khalid kepada Bernama.

Teong Kim, mempunyai kontrak bersama AMD di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sehingga 2020.

Beliau dilihat sebagai individu tepat dalam menyediakan platform pembangunan bola sepak tanah air apabila dilantik menyandang jawatannya pada 2013 dan skuad remaja negara selepas itu mengecapi pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.

Bekas pemain kebangsaan kelahiran Melaka ini menghabiskan kariernya sebagai jurulatih skuad pelapisBekas pemain kebangsaan kelahiran Melaka ini menghabiskan kariernya sebagai jurulatih skuad pelapis kelab gergasi dunia dari Jerman, Bayern Munich selama 12 tahun sejak tahun 2001.- Gambar google.

 

Antara kejayaan bersejarah ialah menjuarai Piala Iber Costa del Sol edisi 2015 yang merupakan kejohanan bola sepak berprestij remaja peringkat dunia serta muncul juara Piala SuperMokh 2016 selain kedudukan tiga teratas dalam beberapa siri kejohanan jemputan.

Namun, nama Teong Kim menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas beliau dipecat selain pendedahan jumlah gajinya yang dilaporkan berjumlah RM175,000 sebulan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Mengakui tiada jalan pintas untuk mencapai sesuatu kejayaan, Khalid yang juga antara watak penting kejayaan skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 berpendapat khidmat Teong Kim sebagai pengarah AMD perlu dikekalkan.

Antara pemain berkelas dunia yang dilahirkannya ialah perancang Real Madrid, Toni Kroos (kiri) dan pAntara pemain berkelas dunia yang dilahirkannya ialah perancang Real Madrid, Toni Kroos (kiri) dan penyerang Jerman, Thomas Muller.

 

“Dia tidak sepatutnya dipinggirkan terus dan kita tidak boleh lepaskan beliau. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau FAM perlu ambil satu jalan penyelesaian* panggil dia berbincang dan mungkin beri dia tanggungjawab ke atas semua program pembangunan remaja. Berhenti menuding jari.

“Pengalaman dimiliki beliau sewaktu di Jerman sangat bernilai. Di Malaysia tiada jurulatih berpengalaman luas dan unik sepertinya,” tambah Khalid.

Bernama difahamkan Teong Kim kini kembali ke Jerman untuk meluangkan masa bersama keluarga sementara menanti keputusan mengenai statusnya selaku pengarah AMD yang dijangka diketahui awal bulan depan.

Usaha Bernama untuk mendapatkan komen Teong Kim berhubung perkembangan terbaru dirinya, gagal apabila beliau kekal dengan sikap profesionalnya yang enggan mengulas  tentang status beliau selaku pengarah AMD selagi keputusan muktamad belum dikeluarkan. – Bernama

Teong Kim kini kembali ke Jerman untuk meluangkan masa bersama keluarga sementara menanti keputusanTeong Kim kini kembali ke Jerman untuk meluangkan masa bersama keluarga sementara menanti keputusan mengenai statusnya selaku pengarah AMD yang dijangka diketahui awal bulan depan. – Foto Bernama
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN