MANCHESTER 4 Okt. – Manchester City merahsiakan laluan yang bakal digunakan untuk ke Anfield, Ahad ini apabila menentang Liverpool dalam pertembungan paling mencuri tumpuan antara dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.
Selepas beberapa kali berbincang dengan Polis Merseyside, juara bertahan itu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak insiden diserang penyokong Reds musim lalu berulang.
Pada April lalu, bas yang membawa anak-anak buah Pep Guardiola dibaling dengan botol, tin dan batu oleh penyokong Liverpool, yang turut menyalakan suar dalam suku akhir Liga Juara-Juara.
Dua pegawai polis turut cedera dan bas yang dinaiki skuad The Citizens mengalami kerosakan teruk hingga tidak boleh membawa pemain mereka pulang ke Manchester.
Begitupun, menjelang perlawanan tumpuan hujung minggu ini, City tidak punya pilihan kecuali menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk melindungi mereka.
“Semua pihak bekerja keras bagi memastikan insiden April lalu tidak berulang.
“Kami akan meletakkan anggota tambahan untuk mengawal keadaan di luar Anfield, sama ada yang beruniform atau memakai pakaian baju biasa. Pengawasan dilakukan sejak awal bagi memastikan perlawanan ini selamat buat semua orang,” kata Superintendan Dave Charnock. – AGENSI











