Dilabelkan sebagai parti dari Semenanjung, persepsi negatif yang ditimbulkan itu dikatakan antara punca kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14, oleh itu perubahan secara drastik demi kelangsungan parti perlu dilakukan segera.
Salah satu langkah yang diambil oleh parti itu adalah dengan menyertai blok pembangkang baharu, Gabungan Bersatu Sabah (GBS). Bagaimanapun, sejauh mana langkah itu berkesan serta mampu menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO masih belum diketahui.
Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, FAUZI SUHAIMI, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, DATUK SERI HAJIJI NOOR berkata, proses pembaharuan UMNO Sabah akan hanya berjaya jika parti itu diberi kuasa autonomi kerana itu adalah kehendak rakyat.
Menurut Hajiji, dengan adanya kuasa autonomi, UMNO Sabah mampu berdiri di atas kaki sendiri dan dilihat bersih kerana tidak terpalit dengan isu-isu rasuah yang dikatakan dihadapi pemimpin-pemimpin di peringkat Pusat.
MINGGUAN: Apa pandangan Datuk Seri tentang GBS yang telah pun ditubuhkan secara rasmi?
HAJIJI: Cadangan GBS ditubuhkan selepas PRU-14 lalu disebabkan parti komponen dalam BN telah bertindak keluar parti kecuali UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Jadi, ekoran daripada itu, falsafah dalam politik kini adalah perlu mempunyai rakan kerjasama untuk menjadikan setiap parti yang diwakili terus kuat.
Berdasarkan kepada perkara itu, adalah menjadi cadangan semua pihak untuk mewujudkan satu blok pembangkang di peringkat negeri.
Mengikut persetujuan awal, tiga parti yang mempunyai wakil rakyat menzahirkan kesepakatan untuk bergabung sebagai satu rakan kerjasama dalam blok pembangkang di negeri ini iaitu UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Selepas perkara itu selesai, pemimpin dalam GBS pula bersetuju untuk membuka keahlian daripada mana-mana parti pembangkang lain yang sehaluan dengan matlamat dan perjuangan yang dibawa GBS.
Berhubung penubuhan GBS, Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mahu UMNO menukar nama parti sebelum menyertai GBS. Apa pandangan Datuk?
HAJIJI: Memang tidak dinafikan ada sesetengah pihak menyuarakan pendapat sedemikian kerana menyifatkan UMNO tidak sesuai untuk menyertai GBS. Berikutan itu, pihak berkenaan meminta UMNO menukar nama lain yang lebih bersifat tempatan.
Namun pada pendapat saya, perkara itu terlalu remeh untuk dibincangkan kerana tidak mengubah sebarang Perlembagaan mahupun persetujuan daripada semua ahli dalam GBS.
Saya juga telah mempengerusikan mesyuarat melibatkan ahli dalam GBS baru-baru ini dan isu mengenai UMNO pula tidak ditimbulkan sama sekali.
Mungkin pihak berkenaan menyedari bahawa aspek yang penting dalam GBS adalah kerjasama padu semua ahli dalam memastikan matlamat setiap parti yang diperjuangkan dapat dilaksanakan kelak.
Oleh itu, UMNO Sabah akan kekal sebagai sebuah parti dan tidak akan berlaku sebarang pertukaran nama buat masa ini.
Perkara itu juga akan dibincangkan dan saya berharap agar isu nama tidak perlu diambil serius kerana perkara itu tidak menjejaskan sebarang keputusan dan sokongan ahli dalam gabungan ini.
Jika semua pihak mahu UMNO menukar nama sebelum menyertai GBS, adakah UMNO akan akur untuk menukar nama?
HAJIJI: UMNO Sabah sekali lagi menegaskan untuk tidak sesekali mengubah atau menukar nama parti meskipun ia sebagai syarat utama untuk menyertai GBS.
Perkara itu telah dipersetujui semua pemimpin parti untuk tidak berbuat demikian kerana UMNO merupakan sebuah parti yang banyak berjasa kepada Sabah khususnya rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Oleh itu, isu yang melibatkan nama UMNO dalam GBS akan dibincangkan dan diperhalusi kelak, namun setakat hari ini, perkara itu tidak begitu serius sehingga tahap perlu diputuskan kelak.
Adakah UMNO akan menjadi parti paling dominan dalam GBS atau bagaimana?
HAJIJI: Berdasarkan kepada kerusi yang ada, UMNO adalah parti yang memiliki kerusi paling banyak di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Sudah pasti UMNO akan mendominasi gabungan ini, namun sekiranya pemimpin yang layak untuk mengetuai GBS datangnya daripada parti yang memiliki dua kerusi sahaja, itu tidak menjadi masalah kerana kita mengamalkan suara demokrasi.
Isu siapa yang mengetuai GBS buat masa ini masih tidak dibincangkan, namun segala keputusan adalah memihak kepada suara dan sokongan majoriti semua ahli baik daripada UMNO, PBS mahupun Star.
Bagaimana usaha UMNO Sabah dalam menuntut hak dan kuasa autonomi?
HAJIJI: Berdasarkan perkembangan politik semasa sekarang, UMNO Sabah harus membuat pelbagai perubahan bagi membersihkan semula nama baik UMNO selain memberi keyakinan penuh kepada rakyat. Ini kerana kita tahu kalau di Sabah, masih ramai lagi rakyat yang sayangkan parti ini.
Oleh itu, UMNO harus melakukan pelbagai perubahan dengan pelbagai cara dan pendekatan baharu memandangkan parti ini telah lama memerintah negara ini.
Dalam konteks Sabah, pelbagai pendapat telah dilontarkan bagi memastikan UMNO kekal relavan di negeri ini. Antaranya ialah mendapatkan kuasa autonomi tertentu untuk membolehkan UMNO Sabah masih diterima di negeri ini.
Kuasa autonomi tersebut penting bagi menentukan kedudukan parti yang datangnya dari Semenanjung boleh diterima umum selain dijadikan prinsip yang lebih merujuk kepada parti untuk rakyat tempatan.
Antara intipati yang membolehkan kuasa autonomi diberikan kepada UMNO Sabah adalah menyerahkan segala urusan tadbir urus parti di peringkat negeri ditentukan pemimpin negeri termasuk memilih pemimpin dan keputusan melibatkan isu tempatan.
Ini bagi memastikan pemimpin UMNO dapat menentukan keputusan berdasarkan kepada masalah yang wujud di negeri ini tanpa melibatkan campur tangan UMNO Pusat.
Hal ini kerana, masalah yang timbul di negeri ini jauh berbeza dengan masalah yang ada di Semenanjung terutamanya isu yang melibatkan kaum dan etnik. Sehubungan itu, ini antara aspek penting yang perlu dilakukan secara menyeluruh bagi mengembalikan semula semangat dan sokongan rakyat terhadap UMNO.
Selain itu, kita juga meminta UMNO negeri diberi kuasa untuk meluluskan sesiapa sahaja menjadi ahli atau mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parti yang melanggar undang-undang. Selaras dengan usaha tersebut, satu Jawatankuasa Khas Perlembagaan ditubuhkan di peringkat Sabah dalam memperhalusi setiap dasar sedia ada demi kepentingan semua pihak khususnya rakyat di negeri ini.
Menerusi usaha itu, pemimpin UMNO negeri akan terus bekerja keras bagi memastikan status UMNO di negeri ini akan terus menjadi parti yang diterima ramai sekali gus mampu memberi khidmat jauh lebih baik berbanding parti lain yang ada di sini.
Berdasarkan prinsip itu, sudah pasti, pemimpin UMNO negeri akan terus melakukan penjenamaan parti bukan sahaja terhadap dasar yang meletakkan kepentingan rakyat pada tahap paling tinggi, malah komited ‘melokalkan’ parti UMNO dan menghapuskan sentimen yang memperlihatkan UMNO Sabah adalah sebuah parti ‘Malaya’.
Tanggapan itu yang harus kita hapuskan dengan cara menerapkan elemen tempatan dalam dasar dan Perlembagaan parti demi kelangsungan UMNO di negeri ini.
Saya yakin, dengan cara itu, UMNO Sabah akan terus menjadi parti pilihan banyak pihak serta mengembalikan kedudukan UMNO yang lebih stabil dan kukuh pada masa akan datang.
Dengan itu kita juga mahu tampilkan wajah UMNO di negeri ini berbeza dengan prinsip UMNO di Semenanjung dengan memperlihatkan sebuah parti besar, namun bersifat tempatan. Lebih mengejutkan, ada pihak beranggapan UMNO Sabah hanya menjadi boneka atau ‘parti pak turut’.
Jadi, ini yang kita mahu ubah agar sentimen itu tidak lagi wujud.
Isu tersebut hanya wujud sekitar tempoh PRU lalu dan selepas tempoh itu, isu berkenaan seakan-akan tidak wujud. Tambahan pula, ada pihak tertentu yang tegar melaungkan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ sejak sekian lama, tetapi masih tidak mampu membentuk kerajaan negeri.
Oleh itu, pada saya, slogan berkenaan tidak ada ertinya. Ini kerana, di negeri ini, rakyat masih menerima baik UMNO meskipun dianggap sebagai parti dari ‘Malaya’.
Mereka yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah hasil gabungan dengan parti dari ‘Malaya’ iaitu PKR dan DAP atas kerjasama menerusi Pakatan Harapan (PH).
Itu merupakan persoalan yang pada saya tidak logik apabila ada pemimpin kerajaan negeri ketika ini mendakwa UMNO adalah parti dari ‘Malaya’.
Kenapa penting kuasa autonomi, dan apakah bentuk kuasa autonomi yang UMNO Sabah mahukan?
HAJIJI: Adalah penting untuk UMNO Sabah mendapat kuasa autonomi yang tersendiri bagi membolehkan parti ini terus diterima rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang.
Ini kerana, kuasa tersebut perlu bagi menentukan hala tuju parti seiring dengan kehendak serta keperluan rakyat yang mempunyai pelbagai kaum, etnik serta agama.
Melalui kuasa tersebut, UMNO Sabah dapat menetapkan sesuatu perkara berlandaskan kepada akar umbi yang lebih dekat dengan rakyat Sabah berbanding UMNO Pusat yang terarah kepada pandangan umum dan berfokus kepada keperluan di Semenanjung tanah air.
Bagaimanapun, kuasa autonomi itu bukanlah suatu kuasa mutlak yang dituntut pimpinan parti di peringkat negeri, sebaliknya kuasa tertentu yang membolehkan kelangsungan parti dapat diteruskan demi memperjuangkan kepentingan rakyat.
Segala keputusan yang akan ditentukan kelak juga perlu mendapat pandangan dan perhatian pimpinan Pusat dalam beberapa isu tertentu.
Kita bukan mahukan kuasa autonomi yang menjangkau bidang tugas Majlis Tertinggi (MT) parti seperti Presiden, sebaliknya kuasa yang memihak kepada rakyat Sabah secara amnya.
Sehubungan itu, UMNO Sabah membentuk dua jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Teknikal dan Jawatankuasa Khas Peringkat Induk untuk membuat perakuan serta penelitian berhubung pembaharuan yang perlu dilakukan untuk dibentangkan dan diperjelaskan kepada UMNO Pusat sebelum diluluskan kelak.
Dalam pada itu, perlembagaan parti juga perlu digubal untuk memasukkan semua tuntutan rakyat Sabah terutamanya berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, UMNO perlu menjadi satu-satunya parti yang memberi kelebihan kepada kepentingan negeri dan rakyat dalam perlembagaan parti. Ini merupakan salah satu pembaharuan yang perlu dilakukan.
Jika langkah ini dilakukan, sudah pasti UMNO merupakan parti yang pertama dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah secara teknikal.
Saya yakin, UMNO mampu menerajui semula tampuk kepimpinan di negeri ini dalam masa akan datang dengan melihat kepada langkah pembaharuan yang dilakukan.
Selain daripada itu, adalah menjadi harapan buat rakyat Sabah untuk mempunyai seorang wakil yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden parti bagi memberi jaminan suara rakyat Sabah akan terus sampai ke peringkat MT secara terus.
Sejauh mana seriusnya rundingan dengan UMNO Pusat tentang pemberian kuasa autonomi ini?
HAJIJI: Secara prinsipnya, rundingan ini sedang dalam perbincangan melibatkan kedua-dua pihak termasuk mendapat persetujuan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan mesyuarat bersama pemimpin negeri baru-baru ini.
Pihak kita juga telah merangka draf awal mengenai kuasa autonomi yang diperlukan dan perkara ini sedang dalam perbincangan semua pihak khususnya pucuk pimpinan.
Bagaimanapun setiap perbentangan draf yang dilakukan akan memperlihatkan kepada sokongan penuh pucuk pimpinan khususnya Presiden. Tambahan pula, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung di ibu negara bulan lalu turut menzahirkan persetujuan dan sokongan penuh terhadap tuntutan kuasa autonomi berkenaan.
Namun pada peringkat seterusnya, perkara tersebut juga akan diperhalusi dalam pertemuan antara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan dua Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan pada Isnin ini.
Adakah Datuk yakin dengan adanya kuasa autonomi rakyat Sabah akan kembali menyokong UMNO?
HAJIJI: Walaupun keadaan politik ketika ini tidak menentu, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat parti untuk terus berjuang menuntut hak rakyat Sabah.
Berbekalkan kesetiaan ahli parti dan sokongan penuh rakyat terhadap UMNO, saya yakin parti keramat ini akan kembali berkuasa bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat Persekutuan pada masa akan datang.
Melihat kepada keputusan PRU-14 lalu, hanya kerana beberapa isu yang terpalit dengan individu penting dalam UMNO telah menyebabkan UMNO berada di barisan blok pembangkang.
Namun saya percaya, sokongan itu akan dapat dikembalikan selepas perubahan besar-besaran dalam perlembagaan parti sekali gus dapat mengembalikan semula keyakinan kepada rakyat di peringkat akar umbi.










