KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020) yang disifatkannya sebagai dokumen komprehensif dalam mereformasikan negara selaras dengan aspirasi Wawasan 2020 yang diilhamkannya semasa membentangkan RMK-6 pada tahun 1991.
Beliau yang menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua berkata, kajian separuh penggal itu yang merupakan dokumen dasar pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas mampu memastikan Malaysia mencapai status negara maju dan inklusif sebagaimana diinginkan sejak sekian lama.
Dalam ucapan selama sejam lapan minit, pemimpin berusia 93 tahun itu menegaskan bahawa kerajaan kini menganjak pemikiran berkaitan pembangunan semasa negara yang tidak lagi melihat pembangunan mengikut ukuran pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata sebagaimana diamalkan selama ini.
“Kita kini melihat pembangunan daripada aspek peningkatan kuasa beli rakyat dan pembangunan perlu dinikmati oleh semua rakyat serta memastikan tidak wujud jurang pendapatan terlalu lebar antara mereka yang miskin dan kaya, antara kaum dan suku kaum.
“Tidak harus ada golongan yang merasakan mereka terpinggir daripada arus perdana pembangunan yang juga tidak boleh meninggalkan negeri atau wilayah tertentu di belakang,” tegas Perdana Menteri ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal RMK-11 di Dewan Rakyat di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










