Malaysia berjaya kurangkan kemiskinan - Utusan Malaysia

Malaysia berjaya kurangkan kemiskinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Malaysia telah mencatat kemajuan yang luar biasa dalam mengurangkan ke­miskinan kewangan yang melampau, dengan hanya kurang daripada satu peratus isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan nasional, kata Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan Pusat Pengetahuan dan Penyelidikan Global Bank Dunia di Malaysia, Kenneth Simler berkata, pada 1970 hampir separuh daripada penduduk hidup di bawah garis kemiskinan nasional, yang hampir sama dengan garis kemiskinan antarabangsa, iaitu pendapatan kira-kira RM100 seorang setiap bulan.

“Dengan menggunakan garis kemiskinan median nasional yang lebih tinggi yang digunakan di negara berpendapatan sederhana tinggi pendapatan (kira-kira RM292 seorang setiap bulan), kadar kemiskinan Malaysia telah menurun daripada 17 peratus pada 2008 kepada 2.7 peratus pada 2015,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan di mana sejak 1992, 17 Oktober telah dipilih sebagai hari bagi dunia melibatkan diri dalam kemajuan yang dibuat dan tindakan yang diperlukan untuk menghapus kemiskinan.

Bagaimanapun Simler berkata, berbanding negara berpendapatan tinggi dan maju yang dicita-citakan Malaysia, jurang dan kelemahan sedia ada tidak boleh dengan mudah diketepikan sebagai kes terpencil.

Sebagai contoh, beliau berkata, satu kajian oleh Institut Kesihatan Awam Malaysia pada 2016 mendapati 20.7 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah terbantut dari segi pemakanan yang mana kadar kebantutan yang tinggi didapati di bandar-bandar serta kawasan luar bandar dan di semua negeri, semua etnik serta semua peringkat pendapatan dan tahap pendidikan ibu.

“Melangkah ke hadapan, da­sar dan campur tangan sosial dapat dibuat lebih efektif de­ngan menyesuaikan mereka dengan lebih baik dengan keada­an hidup penduduk.

“Satu kes yang dimaksudkan ialah program pemindahan tunai Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kesan dan kecekapan kosnya boleh melampaui keberkesanan program masa lalu dengan menyesuaikan kriteria kelayakan dan tahap faedah untuk merangkumi saiz dan komposisi isi rumah, serta perbezaan kos sara hidup mengikut negeri dan kawasan bandar/luar bandar,” katanya.

Kesimpulannya, Simler berkata, negara ini bersedia untuk mengembangkan kelas menengah yang le­bih besar dan lebih berdaya tahan, yang dapat menjadi enjin pertumbuhan masa depan dan menjuarai tadbir urus yang lebih baik dan meningkatkan akauntabiliti.

Menurut beliau, komitmen kepada keterangkuman di Malaysia baharu serta menangani masalah dan kelemahan yang berlaku akan menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN