MAIPs salur lebih RM54 juta bantu bina rumah asnaf dan dalam soal pendidikan - Utusan Malaysia

MAIPs salur lebih RM54 juta bantu bina rumah asnaf dan dalam soal pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 8 Okt. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyalurkan sebanyak RM47 juta sejak tahun 2013 bagi membantu membina atau baik pulih kira-kira 2,426 kediaman golongan asnaf dan memerlukan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, pada tahun lalu, MAIPs juga telah memberikan peruntukkan tahunan sebanyak RM4.7 juta kepada Institusi Pendidikan Islam.

“Malah kita juga menyalurkan RM3.2 juta kepada 2,749 orang pelajar yang mengikuti pelbagai program di institusi dalam serta luar negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sejumlah wang tunai sumbangan MAIPs kepada Masjid Sultan Ahmed yang lebih dikenali sebagai Masjid Biru di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Pengurus pusat maklumat masjid berusia kira-kira 400 tahun itu, Ahmet Abidi menerima sumbangan berkenaan daripada baginda. 

Berangkat sama, anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Nidzamuddin Zakaria dan Dr Azrul Azlen.

Pada kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang zakat kepada MAIPs.

“Semoga sumbangan zakat kita diterima Allah dan beroleh keberkatan ke atas usaha dan harta kita,” titah baginda.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs dan Tuanku Canselor KUIPs berada di Istanbul selama tiga hari atas undangan bagi merasmikan Seminar Warisan Nabawi 2018 yang diadakan di Esenyurt, Turki.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN