KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira Datuk Seri Anwar Ibrahim telah kembali ke Dewan Rakyat selepas menang pada pilhan raya kecil Parlimen Port Dickson pada Sabtu lalu.
“Kita memang telah menjangka beliau akan kembali, kita tahu beliau akan menang….sudah tentu saya gembira. Beliau dari parti yang sama,” kata beliau kepada pemberita di lobi Parliamen hari ini.
Anwar mengalahkan enam calon lain termasuk calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu beliau, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan memperoleh majoriti undi lebih besar sebanyak 23,560 undi majoriti.
Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat di hadapan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebaik sahaja Dewan Rakyat memulakan sidang mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-14. – Bernama










