KUALA LUMPUR 16 Okt. – Sarawak hari ini memperkenalkan logo ‘Tahun Melawat Sarawak’ yang menjadi sebahagian kempen rasminya dijangka dilancarkan pada Disember nanti.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya mahu meletakkan Sarawak di peta pelancongan sebagai destinasi pilihan di Asia Tenggara.
“Sarawak negeri terbesar di Malaysia sememangnya menyediakan lebih banyak tempat untuk diterokai oleh para pengunjung.
“Penekanan kami dalam kempen itu ialah kebudayaan, lasak, alam sekitar, makanan dan festival (CANFF) yang tidak dapat ditemui di mana-mana tempat di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo Tahun Melawat Sarawak di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB), Datuk Abdul Wahab Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor.
Logo itu dilakar menggambarkan keramahan dan keriangan bersama tujuh warna serta slogan ‘More to Discover’ yang menjadi aspirasi kempen itu. – UTUSAN ONLINE










