TANJUNG MALIM – Lima penumpang tren komuter yang baru mahu memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang, Selangor berlanggar dengan tren kargo di stesen berkenaan di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.02 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan lima daripada 20 penumpang komuter mengalami kecederaan ringan.
Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) dalam satu kenyataannya yang disiarkan melalui akaun media sosialnya memaklumkan, tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam, Pelabuhan Klang ke Terminal Kargo Ipoh (ICT), Ipoh.
“Tren komuter pula dijangka berlepas dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang pada pukul 6.05 pagi.
“Kesemua penumpang yang cedera ringan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim manakala bakinya dipindahkan ke tren komuter lain,” katanya.
Tambah kenyataan itu, akibat insiden tersebut, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi sektor utara akan mengalami kelewatan perjalanan di antara 10 hingga 15 minit.
“Tiga jadual tren komuter antara Stesen Tanjung Malim – Kepong dijadualkan semula dan akan mengalami kelewatan antara 15 hingga 30 minit.
“KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Kerja-kerja baik pulih dan siasatan lanjut berkaitan insiden ini sedang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi Kosmo! Online mengesahkan kejadian tersebut. – K! ONLINE










