ALOR SETAR – Seorang lelaki warga United Kingdom maut akibat ditikam pada dada oleh isterinya sendiri dalam kejadian di sebuah banglo di Kampung Gelam Mukim Kedawang di Langkawi dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi itu, mangsa, John William Jones, 63, maut di lokasi kejadian akibat ditikam pada bahagian kanan dada dengan menggunakan sebilah pisau oleh isterinya berusia 51 tahun.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun memaklumkan seorang lelaki ditikam di kampung tersebut.
“Sebaik anggota tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah dan kakitangan perubatan dari Hospital Langkawi yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek bertindak menikam mangsa di dalam bilik tidur dan mangsa yang cuba berlari keluar dari bilik tersebut sebelum terjatuh di ruang tamu rumah.
“Suspek mendakwa mangsa ketika kejadian masih bernyawa dan dia telah meminta pertolongan jiran untuk menghubungi hospital,” ujarnya.
Menurut Mohd. Iqbal, suspek mengaku menikam suaminya kerana tidak sengaja akibat perselisihan faham berkaitan masalah rumah tangga mereka. – K! ONLINE










