PASIR PUTEH 17 Okt. – Seorang bapa tunggal yang menyara tujuh anak ditangkap bersama tujuh lelaki lain dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Gaal Hilir, dekat sini semalam.
Ketua Pegawai AADK daerah, Azlina Mohd. Zain berkata, dalam operasi yang dilaksanakan bermula pukul 12 tengah malam hingga pukul 1 petang itu adalah berdasarkan aduan awam dan hasil risikan terhadap kes penagihan dadah setempat.
Menurutnya, bapa tunggal yang berusia 40 tahun ketika ditahan anggota AADK di rumahnya pada pukul 7 pagi itu memohon dibebaskan atas alasan terpaksa menjaga kebajikan anak-anaknya yang berusia 10 bulan hingga 18 tahun.
“Ketika ditahan, kesemua anak-anak berada di dalam rumah. Isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anak bongsu kira-kira 10 bulan lepas. Siasatan awal mendapati pelajaran anak-anaknya tidak terurus kesan tabiat penagihan pil kuda yang berterusan.
“Dalam operasi tersebut, lelaki terbabit berulang-kali merayu minta dibebaskan dan berpura-pura menangis dengan alasan khuatir kebajikan anak-anaknya terutama anak bongsunya yang masih kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azlina berkata, semua penagih berusia 18 hingga 40 tahun itu dibawa ke pejabat AADK daerah untuk siasatan lanjut selepas saringan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah methamphetamine dan opiat.
Katanya, suspek terbabit direman tujuh hari di Pusat Tahanan Reman (PTR) AADK Pasir Mas dan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pemulihan Dadah 1983.










