Lelaki ditahan kerana guna 'lesen terbang' dan pandu kereta klon - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan kerana guna ‘lesen terbang’ dan pandu kereta klon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang jururawat lelaki di sebuah hospital swasta di ibu kota ditahan selepas pemeriksaan yang dilakukan mendapati lesen memandu yang dimilikinya adalah palsu kerana tiada di dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Lebih memburukkan keadaan, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta jenis Suzuki Swift dipandunya pula mendapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah tidak selari dengan nombor casis kereta berkenaan. 

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Mohd. Zawawi berkata, pihaknya percaya lesen tersebut adalah palsu atau ‘lesen terbang’ dan kenderaan yang dipandu lelaki itu adalah kereta klon. 

“Menerusi nombor kad pengenalan lelaki berusia 28 tahun berkenaan, kami dapati dia pernah disaman sebanyak dua kali sepanjang dua tahun lalu kerana tidak memiliki lesen. 

“Dia juga mendakwa kereta dipandunya itu baru sahaja dibeli tiga bulan lalu daripada seorang individu dikenalinya dengan harga RM6,000,” katanya pada pemberita ketika ditemui sebaik selesai Operasi Bersepadu JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bil 2/2018 di Plaza Tol Awan Besar di sini malam tadi. 

Turut serta dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Tentera dan Puspakom. 

Menurut Ismail, lelaki tersebut kemudiannya diserahkan pada anggota polis trafik untuk siasatan lanjut manakala kereta berkenaan akan disita pihaknya. 

Dalam pada itu Ismail berkata, sebanyak 121 notis saman terhadap pengguna jalan raya di atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi yang dilakukan oleh 122 anggota daripada pelbagai agensi berkenaan. 

“Selain itu, pihak imigresen juga telah menahan sembilan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Kami dapati, kesalahan yang paling banyak dikesan masih sama seperti operasi-operasi terdahulu iaitu memandu tanpa lesen yang sah dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN