MELAKA – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Melaka dengan penahanan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta dalam dua serbuan di daerah Melaka Tengah semalam.
Suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri pada pukul 9.45 pagi ketika berada di dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah kondominium di Tengkera di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, susulan tangkapan itu polis menyerbu sebuah rumah yang disewa suspek dan menemui heroin sebanyak 3,860 gram (g), eramin 5 (6,960 biji), kafein (137,03g) dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
“Selepas itu, polis menyerbu pula lokasi kedua iaitu sebuah apartmen di Banda Hilir pada pukul 5 petang dan menemui heroin (592g), ketamin (7,944) dan syabu (100g).
“Siasatan awal mendapati suspek yang muflis menjalankan kegiatan memproses dadah tersebut dan nilai rampasan di kedua-dua premis bernilai RM1.015 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Menurut Raja Shahrom, pasaran dadah dan tempoh penglibatan suspek dalam kegiatan tersebut bagaimanapun masih dalam siasatan.
Dalam kes berasingan, Raja Shahrom memberitahu, anggota peronda Lebuhraya Trafik Bukit Aman merampas empat kilogram syabu bernilai RM280,000 selepas menahan sebuah kereta jenis Mercedes SLK 200 di Kilometer 215, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini.
“Pada mulanya pemandu lelaki berusia 34 tahun yang menyorokkan syabu di dalam bonet kereta cuba menyogok anggota peronda dengan wang tunai RM100,000 tetapi tidak berjaya dan dia kemudian ditahan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










