HULU SELANGOR – Seorang lelaki yang menjadi viral memasukkan anak saudara lelakinya dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa di sini didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan melakukan perbuatan tersebut minggu lalu.
Bagaimanapun tertuduh Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, yang juga penganggur itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memasukkan anak saudaranya Shah Raiqal Shahril Sharizal yang berusia tiga tahun dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh hingga membahayakan keselamatan kanak-kanak tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Kedai Dobi Laundry Bar No11&11-1 Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1 Bandar Bukit Sentosa, di sini pukul 12.30 tengah malam pada 2 Oktober lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad menawarkan jaminan RM4,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan berikutan tiada penjamin yang hadir.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE
-habis-











