KUANTAN 16 Okt. – Seorang lelaki yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seekor anjing Rabu lalu diarahkan dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor untuk pemeriksaan mental.
Majistret Nurulnaim Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati tertuduh, Ng En Choah, 47, dari Nenasi, Pekan dekat sini mempunyai rekod masalah mental dan masih menjalani rawatan.
Tertuduh didakwa secara kejam memukul dan menyepak haiwan tersebut dalam kawasan sebuah premis di Jalan Semambu-Jabor di sini kira-kira pukul 9 pagi pada 10 Oktober lepas.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Nurulnaim memerintahkan En Choah dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan dan menetapkan 14 November ini untuk keputusan laporan mental tertuduh. – UTUSAN ONLINE











