LONDON 17 Okt. – Seorang lelaki sanggup membesarkan lima orang anak angkat kurang upaya (OKU) kerana berasa gembira dan usahanya amat bermakna.
Lapor Mirror UK, Ben Carpenter, 34, berkata, ketika berusia 21 tahun, dia mengambil anak angkat pertama, Jack.
Katanya, Jack kini berusia 11 tahun menghidap autism dan obsessive compulsive disorder (OCD) namun bertambah baik dalam jagaannya.
“Saya suka mereka. Menurut orang ramai, membela anak angkat perlu kerja keras tetapi saya suka apa yang saya buat. Mereka adalah anak yang mengagumkan. Mereka tidak membiarkan kekurangan mengehadkan mereka,” katanya.
Seterusnya, Carpenter mengambil anak angkat kedua, Ruby, 7, yang menghidap sindrom Pierre Robin dan skoliosis, tidak dapat menggunakan tangan sepenuhnya kerana kekurangan tulang dan buta.
Selain itu, dia juga menjadi bapa angkat kepada adik tiri Ruby iaitu Lily, 6, yang pekak dan Joseph, 3, yang mengalami sindrom Down dan menggunakan beg kolostomi.
Bagaimanapun empat anak angkat belum cukup baginya. Apabila Carpenter terlihat bayi berusia 15 bulan, Noah dalam satu majalah anak angkat, dia mengambil bayi tersebut.
Bayi itu mempunyai sindrom yang jarang ditemukan dan beberapa kecacatan ketika lahir di lengan dan kaki.
“Saya nampak kekurangannya tetapi saya tetap akan menyayanginya,” katanya.











