PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia hanya selangkah untuk merangkul gelaran antarabangsa pertama musim ini selepas mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei hari ini.
Pemain ranking ke-60 dunia itu menampilkan aksi cemerlang apabila mengejutkan pilihan utama yang juga pemain No. 4 dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan 17-21, 21-14 dan 24-22 pada aksi separuh akhir berlangsung selama 80 minit di Arena Taipei, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF)www.bwfworldtour.befbadminton.com.
Zii Jia akan berdepan pemain muda Jepun, Riichi Takeshita pada aksi final hari ini.
Pemain bukan pilihan dari Jepun itu mara ke final selepas mencipta kejutan menewaskan bekas pemain No. 2 dunia yang juga pilihan kelima, Jan O Jorgensen dari Denmark 21-17, 16-21 dan 26-24 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Zii Jia merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang meneruskan cabaran pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai AS$500,000 (RM2.073 juta) itu setelah dua lagi wakil negara tumpas kepada lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir.
Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang juga pilihan ketujuh, tumpas 16-21 dan 19-21 kepada pilihan utama, Tai Tzu Ying dari Taiwan, manakala pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang juga pilihan ketiga, mengalami kekalahan mengejut 21-12, 18-21 dan 12-21 kepada gandingan kurang ternama dari Taiwan, Yang Po Hsuan-Wu Ti Jung.
Cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita, berakhir di peringkat suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu kelmarin. – Bernama











