KEMAMAN 6 Okt .- Seluruh kawasan Jalan Padang, Cukai sepanjang lebih 500 meter akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai Januari tahun depan.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman berkata, langkah ke arah penguat kuasaan itu seiring dengan pelaksanaan pendekatan Kemaman Bebas Asap Rokok (KBAR) bagi menghindar tabiat buruk yang merendahkan kualiti kesihatan masyarakat itu daripada berleluasa.
“Kawasan ini bermula dari persimpangan jalan masuk iaitu hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hingga berakhir di jalan keluar Jalan Padang ke Bangunan Wisma Persekutuan.
“Ia turut melibatkan kawasan yang telah diwartakan di bawah peraturan 11 Seksyen 36 Akta Makanan 1983 Peraturan – Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017 sebagai kawasan larangan merokok iaitu Taman Awam Bandar Chukai dan Perpustakaan Awam Kemaman.
“Ia akan diperluaskan meliputi dua lot parkir dan jalan utama yang dijadikan sebagai kawasan pasar pagi dan pasar malam, medan selera, pasar tani dan tempat latihan basikal, katanya kepada Utusan Online disini semalam.
“Pejabat Kesihatan Daerah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sedang menjalankan kaji selidik terhadap orang awam terutama pengunjung dan juga peniaga di kawasan ini khususnya bagi menentukan peratusan menyokong pelaksanaannya.
Menurut Mohd Anuar, KBAR telah dirancang sejak tahun lepas lagi setelah kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan bersetuju agar projek di peringkat negeri diperluaskan ke setiap daerah dengan fokus kepada kawasan tumpuan umum dan pusat peranginan.
Ia bertujuan memastikan persekitaran kawasan bersih, segar dan selesa serta memberi perlindungan hak orang ramai dari kesan bahaya asap rokok pasif.- UTUSAN ONLINE










