Lapan premis makanan ada tikus, lipas diarah tutup - Utusan Malaysia

Lapan premis makanan ada tikus, lipas diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Lapan premis makanan di sekitar daerah ini diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari selepas operasi bersepadu mendapati ia terlalu kotor termasuk dikesan mempunyai najis tikus dan lipas.

Arahan penutupan ke atas lapan premis itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak menepati syarat kebersihan yang ditetapkan.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Noor Hayati Ibrahim, operasi bersepadu selama lapan jam yang dilaksanakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat turut mengeluarkan empat kompaun atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 30 premis makanan dan lapan daripadanya diarahkan tutup kerana tidak menepati syarat kebersihan yang ditetapkan.

“Malah, hasil pemeriksaan mendapati premis yang diarahkan ditutup terdapat kehadiran tikus dan lipas, peti sejuk menyimpan bahan mentah gagal berfungsi dengan baik dan persekitaran tidak bersih dan terurus.

“Kesemua premis ini diarahkan tutup selama 14 hari dan perlu dibersihkan mengikut peraturan ditetapkan, namun sekiranya kerja pembersihan dilakukan segera mereka boleh menjalankan perniagaan lebih awal.

“Bagaimanapun, sekiranya gagal mengikut tempoh ditetapkan, arahan penutupan akan dilanjutkan selama 14 hari lagi,” katanya ketika ditemui pada Operasi Bersepadu Premis Perniagaan Makanan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Mohamad Farhan Kadri berkata, notis penutupan dikeluarkan kerana pemilik premis makanan gagal mematuhi peraturan termasuk etika pemakaian.

“Kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak memakai apron, sarung tangan dan penutup kepala ketika menjalankan perniagaan. Malah, ada daripada pekerja mereka tidak mendapatkan suntikan tifoid.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan sekali lagi terhadap semua premis makanan yang diarahkan tutup bagi memastikan pemilik dan pekerja mengikuti peraturan ditetapkan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN