KUALA LUMPUR 5 Okt.- Polis menahan lapan kaki judi dalam serbuan Op Dadu Judi Dalam Talian (Op Dadu Jol) di sebuah premis perniagaan di Taman Kinrara, Puchong dekat sini awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Mohd. Rosdi Daud berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an.
“Serbuan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi setelah hasil risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Balai Polis Bandar Kinrara.
“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas empat buah tab dan sejumlah wang tunai berjumlah RM228,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat Seksyen 4b (a) Akta Rumah Judi 1953.- UTUSAN ONLINE











