MAKANAN tradisional menjadi identiti sesuatu bangsa, yang lazimnya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
Begitu juga bagi orang Melayu, yang mewarisi banyak makanan terutama kuih-muih lama yang kekal relevan dan diminati hingga ke hari ini.
Apatah lagi apabila ada pihak atau individu yang berusaha mengangkat martabat makanan tradisional ini agar terus dihargai sebagaimana dilakukan oleh pemilik Restoran Kueh.
Mula dibuka pada 2015, ia menyajikan sajian terutama kuih-muih tradisional yang sebahagiannya sudah agak jarang ditemui.
Lebih penting, ia boleh dinikmati dalam rasa asli seperti air tangan ibu di kampung.
Menyedari segmen makanan dan minuman (F&B) tempatan semakin berkembang pesat dengan kehadiran restoran ala hipster, pemilik Restoran Kueh, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, 37, mendapat idea untuk menubuhkan restoran berkonsepkan makanan tradisi apabila melihat tidak banyak premis menawarkan makanan tradisional dalam lokasi yang berkonsepkan moden.
“Kalau kita lihat, warung-warung di tepi jalan atau di bazar Ramadan pada bulan puasa sahaja yang menjual kuih-muih tradisional yang sebahagiannya sudah jarang ditemui. Jadi, saya mahu menggunakan konsep yang sama tetapi ‘diangkat’ menjadi restoran atau kafe supaya pengunjung dapat menikmati hidangan dalam suasana yang santai dan selesa.
“Walaupun pasaran sekarang dilambakkan dengan pencuci mulut Barat, kuih-muih tempatan tetap mempunyai peminatnya tersendiri tidak kira generasi tua atau muda berbilang bangsa kerana rasanya yang enak dan sukar ditandingi.
“Kita sudah tentu tidak mahu makanan tradisional yang menjadi warisan pupus begitu sahaja suatu hari nanti, jadi perlunya usaha untuk mengekalkan kewujudannya dengan memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Berkonsepkan moden dan tradisional, restoran yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor itu sememangnya memberikan kelainan kepada pengunjung berbanding restoran yang ada di sekitar daerah ini.
Mana tidaknya, selain menyajikan lebih 50 jenis kuih tradisional seperti pulut dakap, kuih keria, nona manis, cara berlauk, seri muka, akok, popia sambal, pulut panggang, dangai dan banyak lagi, restoran ini turut menyediakan menu tradisi seperti roti jala, ubi kayu rebus, kacang pool, cucur udang, nasi lemak daun pisang, nasi hujan panas, nasi tomato, laksa, soto dan mi kari.
Ujar Mohamad Ezwan, setiap resipi yang diketengahkan dikekalkan keasliannya dengan sedikit penambahbaikan tanpa mengganggu rasa asal supaya kualiti dan persembahan sajian dapat dipertingkat.
Dia menambah, kebanyakan kuih yang dijual dibekalkan oleh pengusaha kuih yang sebahagiannya golongan ibu tunggal di sekitar Selangor, selain dimasak sendiri oleh kakitangannya di restoran, terutama makanan yang enak dimakan ketika panas seperti roti jala dan lempeng.
“Bagaimanapun, setiap kuih tidak akan disediakan dalam kuantiti yang banyak bagi mengekalkan kualiti dan kesegaran makanan. Dalam sehari, kami bawa keluar kuih dua kali, iaitu pagi dan petang.
“Untuk menu-menu utama pula dihidangkan sepanjang hari dan ada sesetengah menu disajikan mengikut musim seperti roti jala kuah durian,” katanya.
Tidak dinafikan harga yang ditawarkan sedikit berbeza dengan kuih-muih dijual di warung, namun bagi mereka yang mempunyai keinginan mencuba resipi asli yang jelas terasa keenakannya, soal harga mungkin ditolak ke tepi.
Selain menjadi lokasi makan pilihan semua bangsa, dia juga mahu Kueh menjadi tempat untuk anak muda mengenal jenis kuih tradisional, yang sesetengahnya sudah hampir pupus tetapi mujur masih ada pengusaha yang sanggup membuatnya.
Restoran popular yang sering dikunjungi ramai saban hari dan sesak terutama waktu pagi dan tengah hari ini, dibuka sehingga pukul 10 malam setiap hari.










