TIDAK siapa dapat menafikan faktor ekonomi memberi kesan terhadap kehidupan individu. Faktor ekonomi jugalah antara perkara yang paling banyak diutarakan oleh rakyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat tinggi telah dan sedang memberi impak terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia.
Kos sara hidup yang melambung tinggi telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak memiliki wang lebihan yang banyak untuk disimpan buat masa hadapan. Ini terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah. Malah, mereka yang berpendapatan sederhana dan memiliki anak yang ramai juga terasa tempiasnya ekoran kos sara hidup yang melambung tinggi.
Daripada sekecil-kecil belanja sehinggalah sebesar-besar perbelanjaan, kedudukan kewangan individu yang kukuh boleh menampung kehidupan dalam era kos sara hidup yang melambung tinggi. Membicarakan tentang kos sara hidup yang tinggi, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa dengan meningkatkan pendapatan setiap tahun, maka dengan ini boleh menampung kehidupan individu.
Mungkin ada kebenarannya. Namun, perlu juga diingatkan, peningkatan pendapatan tersebut mungkin sahaja masih tidak boleh menampung kos sara hidup yang meningkat saban tahun, maka ini sudah tentu menghimpit kehidupan seseorang. Dalam keadaan ini, peratusan peningkatan kos sara hidup lebih tinggi daripada peningkatan pendapatan yang dinikmati setiap tahun.
Dalam konteks ini, peningkatan pendapatan hanya mengikut arus peningkatan kos sara hidup. Nampak seperti boleh mengurangkan tekanan kos sara hidup seseorang. Walhal, setiap tahun tekanan kos sara hidup semakin menghimpit kehidupan rakyat. Sebenarnya apa yang berlaku di sini adalah kuasa beli individu tersebut.
Jika dahulu, kuasa belinya mampu membeli dua kuantiti bagi sesuatu produk dengan nilai wang pada ketika tersebut. Kini, ekoran kos sara hidup yang cukup menekan, kuasa belinya telah menurun dengan hanya mampu membeli satu kuantiti bagi produk yang sama meskipun gajinya meningkat berbanding sebelum ini. Hal ini berlaku kerana peningkatan harga produk tersebut melebihi peratusan kenaikan gajinya berbanding ketika membeli dua kuantiti bagi produk tersebut.
Jadi, jelas nyata, ketika tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi, maka mahu tidak mahu cara untuk mengurangkannya adalah dengan meningkatkan kuasa beli individu. Peningkatan gaji semata-mata masih belum cukup untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Malaysia.
Kecualilah peningkatan tersebut melebihi peningkatan kos sara hidup. Namun, perkara ini sukar dilakukan tanpa adanya peningkatan produktiviti pekerja. Misalnya, sanggupkah majikan membayar gaji pekerja dengan begitu tinggi sedangkan produktiviti masih pada takuk yang sama dan pada masa sama berlakunya pelbagai peningkatan kos perniagaan sehingga menekan majikan untuk menjalankan perniagaan? Sudah tentu tidak!
Jadi, dalam hal ini, antara strategi ampuh untuk mensejahterakan ekonomi dan kewangan rakyat adalah dengan meningkatkan kuasa beli mereka. Kemampuan mereka menjalani kehidupan seharian adalah lebih baik dengan memberi penekanan terhadap peningkatan kuasa beli. Lebih tinggi kuasa beli, lebih tinggilah kualiti kehidupan ekonomi mereka. Justeru, inilah harapan rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2019 pada hari Jumaat ini.
DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










