TANJUNG MALIM – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih belum dapat mengenal pasti punca kemalangan yang mengakibatkan tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang, Selangor bertembung dengan sebuah tren kargo di stesen berkenaan di sini awal pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin berkata, setakat ini, pihaknya sedang fokus terhadap dua perkara dalam siasatan kejadian tersebut iaitu sama ada masalah teknikal atau kesilapan kakitangan sendiri.
Ujarnya, bagaimanapun, punca sebenar kejadian tersebut akan diketahui selepas keputusan siasatan lengkap diperoleh secapat mungkin.
“Sehingga kini, punca sebenar insiden itu masih dalam siasatan dan ia akan dimulakan dengan kadar segera.
“Hasil siasatan awal, terdapat dua kemungkinan insiden ini berlaku sama ada masalah teknikal, kru tren atau kesilapan kakitangan kami sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Stesen KTMB Tanjung Malim di sini sebentar tadi.
Terdahulu, KTMB dalam kenyataannya memberitahu, kejadian pada pukul 6.02 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan lima daripada 20 penumpang komuter mengalami kecederaan ringan.
Kenyataan melalui akaun media sosial itu turut memaklumkan, tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam, Pelabuhan Klang ke Terminal Kargo Ipoh (ICT), Ipoh.
Tren komuter pula dijangka berlepas dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang pada pukul 6.05 pagi.
Mengulas lanjut, Rani Hisham berkata, kejadian tersebut merupakan insiden kedua yang berlaku dalam tempoh dua tahun lalu selepas kejadian terakhir yang berlaku di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Jelasnya, ekoran kejadian yang berlaku pagi tadi, dua daripada enam koc tren komuter itu rosak teruk selepas ia bertembung sebelum terperosok.
“Selain itu, terdapat beberapa koc tren tersasar dari kedudukan rel selepas kedua-dua tren itu bertembung.
“Lima orang cedera ringan dan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Malim sebagai pesakit luar,” katanya.
Ujarnya, kerja-kerja membaik-pulih sedang dijalankan untuk membaiki keadaan trek dan menarik tren bagi membolehkan laluan ke utara yang terjejas dapat dibuka semula bagi memastikan kelancaran perkhidmatan. – K! ONLINE










