Kritik manifesto PH: Pembangkang cuba tutup kelemahan sendiri - Utusan Malaysia

Kritik manifesto PH: Pembangkang cuba tutup kelemahan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANJUNG – Pembangkang diingatkan supaya tidak perlu berselindung di sebalik tindakan mereka menyalahkan Pakatan Harapan (PH) kononnya gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu. 

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya tidak menolak kemungkinan tindakan pembangkang itu hanyalah kerana mereka mahu menutup kelemahan mereka yang sebenarnya gagal menguruskan pentadbiran negara dengan baik sebelum ini. 

Tegas beliau, janji-janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu dibuat berdasarkan maklumat asas yang diperolehi daripada kerajaan yang dipimpin pembangkang pada penggal lalu yang mana pengurusan pentadbiran serta kewangan kerajaan dikatakan berada dalam keadaan kukuh. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Realitinya, apabila kita (PH) mengambil alih ‘kunci’ kerajaan, kita dapati sistem pentadbiran dan kedudukan kewangan negara amat mendukacitakan. Ibarat masuk rumah di luar nampak cantik, namun di dalamnya rosak dan pecah di sana sini. 

“Hari ini mereka (pembangkang) mencanang-canangkan kepada rakyat kononnya PH gagal turun harga barang, ekonomi tidak stabil. Namun apakah mereka sedar bahawa kesulitan kerajaan melaksanakan janji pada hari ini berpunca daripada masalah dan kelemahan kerajaan yang terdahulu, terlalu banyak perkara untuk kerajaan perbaiki,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Minum Petang Bersama Pemimpin Masyarakat, Ketua-Ketua Kampung, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri di Pantai Remis di sini semalam. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dan Pengerusi Koperasi Nelayan Manjung Utara, Ali Zainal Abidin. 

Dalam perkembangan lain, seramai 651 rakyat khususnya golongan nelayan menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan negara termasuk yakin dengan prinsip perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Sokongan mereka itu diterjemahkan menerusi penyerahan beramai-ramai borang keahlian kepada Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu meliputi 21 buah cawangan di dalam Parlimen Beruas. 

Dalam majlis yang sama, seramai 100 nelayan turut menerima baucar petrol sebanyak RM20 yang disumbangkan oleh Petronas Dagangan Bhd. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini