PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sasaran skuad Harimau Malaya mara ke final kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 bulan depan bukan perkara baharu buat pasukan kebangsaan.
Hamidin mengakui mahu kekal komited meneruskan legasi terbaik yang ditinggalkan mantan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika membimbing badan induk persatuan itu.
Ketika berada di bawah kepimpinan Tunku Ismail, baginda berjaya membantu pasukan bawah 23 tahun (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee melakar sejarah bola sepak tempatan buat kali pertama layak ke suku akhir kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu.
Justeru, Hamidin mengakui kecemerlangan yang ditinggalkan oleh Tunku Ismail harus diteruskan oleh FAM yang mana beliau menyasarkan Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) layak ke final kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal mengharungi Piala AFF 2018 bulan depan.
Bagaimanapun, Hamidin tidak mahu mana-mana pihak cepat melatah seandainya kedua-dua pasukan kebanggaan negara itu gagal menepati KPI yang disasarkan ketika bertanding.
“Saya sudah tetapkan (KPI) untuk (skuad Kim Swee ke) Sukan SEA Filipina 2019 dan (skuad Cheng Hoe ke) Piala AFF Suzuki adalah final. Saya sasar final untuk kejohanan pada peringkat ASEAN, itu KPI saya.
“Kita masih segar dengan kejayaan baginda (Tunku Ismail) yang berjaya membawa skuad B-23 melakar kejutan apabila layak ke suku akhir pada kejohanan AFC B-23 di China dan sudah pasti saya mahu meneruskan legasi baginda.
“Namun ingin saya jelaskan ia adalah KPI, kalau jurulatih tak capai, kita tunggu dahulu laporan kerana mereka mungkin ada alasan kukuh. Bukan bermakna bila saya cakap final, saya tak akan baharui kontrak,” katanya pada sidang akhbar di isma FAM, Kelana Jaya semalam.
Terdahulu, Hamidin yang ditemani Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Abdullah Muhammad Said merasmikan majlis pelancaran Diploma Pengajian Bola Sepak UiTM dan majlis penyerahan bendera pasukan UiTM ke Kejohanan Bola Sepak Universiti Asia 2018 di China bermula 29 Oktober sehingga 11 November depan.
Dalam perkembangan lain, Hamidin berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan struktur terbaik mengenai masa depan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Katanya, penglibatan FAM dalam NFDP tidak boleh dipinggirkan kerana perjalanan bola sepak sudah menjadi satu kewajipan serta tanggungjawab yang diletakkan di bawah persatuan induk sesebuah negara di seluruh dunia.
“Saya ada bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini, kemudian timbalan saya (Datuk Seri Subahan Kamal) bermesyuarat dengan KBS.
“Saya rasa biarlah menteri umumkan struktur yang jelas untuk diikuti. Saya harap KBS akan umumkan struktur yang terbaik,” ujarnya.










