SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 1,400 liter diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Rasa, Kuala Kubu Bharu malam semalam.
Hasil rampasan dalam operasi pukul 8 malam itu bernilai RM92,600.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan awam mengenai beberapa lori yang dilihat mengisi diesel dalam kuantiti yang banyak pada setiap malam.
Katanya, hasil aduan itu, pihaknya telah membuat risikan selama empat hari dan menahan seorang lelaki berumur 30-an yang sedang mengisi diesel ke dalam tong yang diletakkan di dalam lori tanah miliknya.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sebanyak 11 lori dengan tujuh daripadanya diisi 1,400 liter diesel bernilai RM92,600.
“Taktik lori ini adalah mengisi diesel di pam yang paling hujung bagi mengelakkan tindakannya disedari orang awam. Kita sedang menyiasat di mana diesel berkenaan akan dijual,” katanya pada sidang akhbar di stor penyimpanan KPDNKK Selangor di Taman Sri Muda di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barangan kawalan dengan niat melakukan kesalahan dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.
Kesalahan itu memperuktukkan hukuman denda RM1juta atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama individu manakal denda RM3 juta dan penjara tiga tahun bagi kesalahan kedua.
Bagi syarikat, mereka boleh didenda maksimum RM2 juta untuk kesalahan pertama manakala RM5 juta bagi kesalahan kedua.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya akan memanggil stesen minyak berkenaan bagi melihat kemungkinan mereka bersubahat dalam membekalkan minyak tersebut kepada lori berkenaan.
“Kita akan menjalankan siasatan lanjut kerana berdasarkan syarat lesen dibawah Akta Bekalan 1961, semua stesen minyak tidak dibenarkan menjual lebih 250 liter kepada setiap kenderaan.
“Sehubungan itu, kita mahu ingatkan stesen minyak supaya sentiasa mengamalkan etika dalam penjualan diesel kerana jika terbukti bersalah, tindakan termasuk menghentikan lesen boleh diambil,” katanya. – K! ONLINE











