KEMAMAN – Sebuah syarikat minyak dan gas di Kerteh dekat sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu hari ini kerana disyaki menggunakan salinan perisian cetak rompak.
Serbuan yang dilakukan pada pukul 1.30 petang itu berjaya merampas dua salinan perisian dipercayai cetak rompak terbabit yang dianggarkan bernilai RM316,000.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfahmy Mat Udi berkata, operasi tersebut dilakukan selepas menerima aduan daripada syarikat yang memegang hakcipta perisian terbabit baru-baru ini.
“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan telah menggunakan salinan perisian cetak rompak tersebut untuk mereka cipta laluan saluran paip minyak dan gas.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Kemaman di sini hari ini.
Zulfahmy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 kerana menggunakan salinan perisian langgaran.
Menurut beliau, denda antara RM2,000 dan RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










