KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan telah melantik 110 pemegang stok mini barang kawalan di seluruh negeri bagi memastikan bekalan musim tengkujuh mencukupi.
Pengarahnya, Khalid Tik berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan kontingensi semasa bencana banjir agar pengedaran bekalan barang kawalan tidak terjejas serta mudah diperolehi pada harga berpatutan.
Beliau berkata, 110 pemegang stok mini barang kawalan itu merangkumi pembungkus minyak masak; pemborong gula, minyak masak dan tepung gandum; pengedar gas petroleum cecair (LPG); stesen minyak dan pasar raya.
“Pemegang stok mini barang-barang kawalan ini diberi kelonggaran untuk menyimpan barang melebihi 30 peratus daripada kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.
“Orang ramai tidak perlu bimbang mendapatkan barang keperluan kerana pihak kami sentiasa memantau dan akan memastikan tiada perniaga dan pengguna mengeksplotasi keadaan selama tempoh bencana banjir berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, antara barang kawalan dan barang keperluan bagi persediaan musim tengkujuh adalah beras, susu pekat dan susu tepung, garam, gula, tepung gandum, minyak masak, sardin, petrol, diesel dan LPG.
Dalam masa sama, katanya, pihaknya juga akan membantu agensi lain terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya tidak menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan barang keperluan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan. – K! ONLINE










