Koordinasi ACDM diperlukan untuk bantuan kepada Sulawesi - Utusan Malaysia

Koordinasi ACDM diperlukan untuk bantuan kepada Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Okt. – Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) perlu memainkan peranan besar dalam melakukan koordinasi untuk penyaluran bantuan kepada kerajaan Indonesia berikutan bencana gempa bumi dan tsunami yang menimpa Sulawesi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin setiap negara anggota ACDM mempunyai badan pengurusan bencana masing-masing yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada Indonesia.

“Walaupun tragedi ini amat menyedihkan, dan kita sebagai jiran tidak mahu duduk di tepi tidak berbuat apa-apa, tetapi sebarang usaha tanpa koordinasi dan perancangan strategik akan mengakibatkan keadaan lebih kelam-kabut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada kita membantu, kita berkemungkinan menyusahkan penyelamat-penyelamat lain, adalah amat jelas ACDM mempunyai peranan penting untuk melakukan koordinasi ini,” katanya ketika berucap bagi merasmikan Mesyuarat ACDM ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di sini hari ini.

Pada 28 September lalu, kejadian gempa bumi di Sulawesi pada magnitud 7.4 skala richter dan diikuti dengan tsunami telah mengakibatkan sehingga lebih 1,200 orang  dilaporkan terkorban.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan akan membuat pemeriksaan lanjut berhubung laporan mengenai tiga boya yang sepatutnya dapat memberi amaran awal tsunami telah dilupuskan kerana tidak lagi berfungsi.

“Kita akan periksa dan melihat perkara ini,” katanya.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari berkata, tiga boya berharga kira-kira RM9 juta yang sepatutnya mencerap data dan menyalurkan maklumat awal mengenai amaran tsunami telah dilupuskan sepenuhnya kerana tidak lagi berfungsi.

Alatan yang dipasang kontraktor utama, iaitu Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) terpaksa dilupuskan dengan persetujuan Kabinet ekoran beberapa faktor, khususnya aspek kos penyelenggaraan, keberkesanan dan ketahanan untuk beroperasi jangka panjang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini