Konsulat Arab Saudi diserbu lagi - Utusan Malaysia

Konsulat Arab Saudi diserbu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL – Pasukan pe­nyiasat Turki sepanjang malam menggeledah konsulat Arab Saudi di Istanbul sebagai sebahagian siasatan terhadap kehilangan Jamal Khashoggi, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump enggan menyisihkan sekutunya, Arab Saudi berhubung kehilangan wartawan tersebut.

Seorang saksi agensi berita Reuters memberitahu, pasukan penyiasat itu meninggalkan konsulat Arab Saudi awal semalam selepas menggeledah bangunan dan kenderaan konsulat.

Mereka menggunakan cahaya terang untuk menyinari taman di konsulat berkenaan tetapi Reu­ters tidak pasti apa yang dicari pasukan penyiasat tersebut.

Terdahulu, pasukan penyiasat itu berada di kediaman Konsul Besar Arab Saudi selama sembilan jam bersama penyiasat-penyiasat Arab Saudi.

Pasukan penyiasat Turki itu turut menggeledah bumbung dan garaj konsulat tersebut dengan bantuan sebuah dron.

Pegawai-pegawai Turki berkata, mereka percaya Jamal dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu dan mayatnya dipindahkan.

Jamal merupakan kolumnis akhbar Washington Post dan pengkritik tegar dasar yang dilaksanakan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Pihak berkuasa Arab Saudi menafikan semua tuduhan Ankara.

Sementara itu, Trump berkata kelmarin bahawa beliau masih menunggu laporan penuh kes tersebut daripada Mike Pompeo selepas menghantar Setiausaha AS itu ke Arab Saudi dan Turki untuk mendapat penjelasan mengenai kehilangan Jamal.

Trump yang menjalin hubu­ngan lebih erat dengan Arab Saudi dan Putera Salman, turut menyatakan bahawa AS telah meminta Turki mengemukakan sebarang bukti audio atau video.

Ia berikutan laporan akhbar pro-Ankara, Safak yang mendedahkan butiran rakaman audio yang didakwa tindakan menyeksa dan menyoal siasat Jamal di dalam bangunan konsulat itu.

Menurut akhbar berkenaan, Jamal dibunuh dalam masa beberapa minit, manakala jari-jarinya dipotong semasa dia di­seksa. Pembunuhnya kemudian memenggal kepala wartawan itu dan mengerat tubuhnya. 
– Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN