Konsul Saudi digeledah sembilan jam - Utusan Malaysia

Konsul Saudi digeledah sembilan jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL 16 Okt. – Pihak berkuasa Turki akan me­­luaskan siasatan kehi­la­ngan wartawan Jamal Khashoggi melibatkan ke­­dia­­man dan juga beberapa ke­n­deraan Konsul Arab Saudi di Istanbul, kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu hari ini.

Beliau juga berkata, setakat ini, tiada pengakuan diterima da­ri Arab Saudi.

Sebelum ini, pasukan siasatan bersama Turki-Arab Saudi, telah mengeledah Konsul Arab Saudi di sini selama sembilan jam untuk merungkai misteri kehilangan Jamal yang juga warga Arab Saudi sejak dua minggu lalu.

Ketika pencarian itu dilakukan, por­tal CNN dan New York Times melaporkan bahawa Arab Saudi membuat persiapan untuk mengakui bahawa Jamal meninggal dunia ketika disoal siasat dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula sebelum ini membuat spekulasi ‘pembunuh penyangak’ mungkin bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Konsul Arab Saudi di Istanbul me­rupakan lokasi terakhir Jamal be­rada sebelum hilang pada 2 Oktober lalu.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang dihantar Trump tiba di Arab Saudi untuk me­ne­mui Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed Salman berhubung kes yang me­ningkatkan ketegangan hubu­ngan antara Amerika dan Arab Saudi.

Laporan sebelum ini menyebut pasukan siasatan jenayah Turki terdiri daripada 10 anggota me­ninggalkan konsul Arab Saudi pada kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan selepas selesai membuat pemeriksaan awal pagi ini.

Seorang pendakwa raya Turki meninggalkan konsul itu satu jam setengah kemudian diikuti oleh satu pasukan Arab Saudi yang menaiki tiga buah ken­deraan.

Sebanyak empat ken­deraan forensik ti­ba di luar konsul dan mengambil sampel ta­­nah dan pintu besi dari taman bunga di premis terbabit.

Seekor anjing polis turut menyertai pasukan mencari itu.

Jamal yang juga penduduk te­­tap AS merupakan ko­lumnis Washington Post dan pengkritik Putera Mahkota Arab Saudi hilang selepas memasuki Konsul Arab Saudi di Istanbul bagi mendapatkan dokumen perkahwinan.

Pihak berkuasa Turki men­dakwa Khashoggi dibunuh dan mayatnya dibuang ke tempat lain.

Bersandarkan dua sumber, CNN melaporkan bahawa Arab Saudi sedang menyiapkan laporan yang mengakui Jamal dibunuh semasa satu siasatan sebagai punca kematiannya.

Kerajaan Arab Saudi bagai­manapun tidak dapat dihubungi bagi mengulas laporan itu.

Kes Jamal mencetuskan kemarahan antarabangsa terhadap Arab Saudi dengan banyak media dan eksekutif perniagaan menarik diri daripada satu persidangan pelaburan yang dirancang di Riyadh bulan ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN