NAPLES – Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp mengkritik persembahan anak-anak buahnya yang beraksi di bawah tahap sebenar selepas tewas 0-1 kepada Napoli pada aksi Liga Juara-Juara Eropah di Stadium San Paolo awal pagi semalam.
Kata Klopp, hanya penjaga gol, Alisson Becker yang wajar diberikan pujian selepas menafikan serangan bertali arus skuad kendalian Carlo Ancelotti itu sebelum penyerang sensasi, Lorenzo Insigne menjaringkan gol tunggal pada minit ke-90 perlawanan.
“Saya tidak tahu apa punca pasukan kami beraksi begitu teruk malam ini. Saya akui ini adalah persembahan negatif yang dipamerkan oleh barisan pemain kerana kami hanya mampu melihat asakan daripada Napoli.
“Barisan pertahanan juga gagal beraksi seperti yang diharapkan sehingga memberi ruang buat pasukan lawan mengawal hampir keseluruhan permainan sehingga berjaya menjaringkan gol pada saat-saat akhir.
“Pemain posisi serangan juga tidak mampu mencipta sebarang peluang berbahaya ke kubu pasukan lawan. Apa yang pasti, pemain terbaik kami pada perlawanan ini ialah Alisson yang berjaya menyelamatkan kami daripada dibelasah lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, Klopp juga memuji Ancelotti selain mengakui taktikal yang dilakukan oleh pengendali kelahiran Itali itu adalah lebih baik berbanding dirinya.
“Sukar untuk kami lakukan apa yang Napoli persembahkan pada perlawanan ini dan pujian harus diberikan kepada Ancelotti. Mereka merupakan pasukan terbaik kerana berjaya mengekang kami daripada melakukan walau satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan,” katanya. – Agensi











