KKM tidak akan tarik semula larangan merokok dalam Parlimen - Utusan Malaysia

KKM tidak akan tarik semula larangan merokok dalam Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menarik semula keputusan melarang perbuatan merokok dan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, Ketua Unit Kawalan Tembakau KKM, Dr. Nor Aryana Hassan dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Norhayati Rusli telah memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof, ketika melakukan kunjungan hormat pagi tadi.

“Susulan perjumpaan itu, KKM menyampaikan pendirian bahawa pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen adalah selaras dengan Artikel 8 WHO FCTC iaitu melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, penguatkuasaan peraturan itu menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen, justeru, KKM tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen.

“Bagaimanapun hasil pertemuan itu, mesyuarat bersetuju untuk menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen sehingga satu ruang merokok alternatif tetap di luar bangunan Parlimen disediakan,” katanya. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN