KKM rampas ubat tidak berdaftar bernilai RM25.7 juta tahun ini - Utusan Malaysia

KKM rampas ubat tidak berdaftar bernilai RM25.7 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk ubat tidak berdaftar bernilai RM25.7 juta menerusi lebih 1,000 serbuan yang dilakukan sehingga September  tahun ini di seluruh negara.

Timbalan Pengarah (Perisikan dan Operasi) Bahagian Penguat kuasaan Farmasi Kementerian KKM, Adnan Salimin berkata, serbuan berkenaan dilakukan di 88 kawasan ‘panas’ di mana terdapat 700 premis yang dikategorikan sebagai tegar menjual produk berkenaan.

“Kawasan hotspot berkenaan ialah kawasan tumpuan di pusat bandar dan pekan kecil selain kawasan yang menjadi tumpuan warga asing.

“Kawasan penempatan peneroka Felda dan Felcra serta sekitar hab pengangkutan awam seperti bas dan kereta api juga turut termasuk dalam kawasan hotspot ini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata, faktor utama yang menjadikan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan panas ialah permintaan orang ramai terhadap produk berkenaan yang pengedar dan penjual akan mengambil kesempatan terhadap permintaan tersebut.

Adnan berkata, empat jenis produk ubat tidak berdaftar utama yang ditemui dalam rampasan pada tahun ini ialah produk pelangsingan yang menyumbang kepada RM961,595 nilai rampasan diikuti produk peransang seks (RM530,616), produk penahan sakit (RM376,680) dan produk injeksi kecantikan (RM137,187).

“Kami juga mendapati kebanyakan produk penahan sakit adalah adalah produk yang diimport manakala produk dari jenis yang lain dihasilkan di dalam negara secara tidak sah,” katanya.

Produk-produk ini antaranya mengandungi bahan seperti steroid bagi produk penahan sakit, sibutramine bagi produk pelangsing, sildenafil dan tadafil bagi peransang seks dan hydroquinone bagi injeksi kecantikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, memang terdapat pesakit yang menerima rawatan di hospital kerana kesan pengambilan produk berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘Adverse Drug Reaction’ iaitu 40 aduan telah dicatat di seluruh negara pada tahun ini. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN