Kisah kanak-kanak genius, modal insan - Utusan Malaysia

Kisah kanak-kanak genius, modal insan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH mengenai Jose Adolfo Quisocala Condori me­nubuhkan sebuah bank nampak seperti normal bagi mereka yang tidak mengetahui siapakah dirinya.

Namun, pastinya ramai yang tertanya-tanya bagaimana seorang budak berusia tujuh tahun berupaya berfikir dan melaksanakan cita-citanya untuk menubuhkan bank, tatkala kebanyakan kanak-kanak seusia dengannya gemar bermain. Inilah yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini. Idea yang pelik bagi golongan dewasa untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun menubuhkan bank, namun hakikatnya idea tersebut dapat direalisasikan oleh kanak-kanak berkenaan.

Bayangkan, kanak-kanak sekecil itu berupaya berfikir tentang bagaimana untuk membantu kanak-kanak lain bagi menyelesaikan masalah mereka melalui penubuhan sebuah bank. Kini, kanak-kanak itu sudah mencecah usia 13 tahun.

Kejayaannya menubuhkan bank setelah pada awalnya dianggap gila oleh gurunya sendiri menunjukkan idea boleh datang daripada sesiapa sahaja tidak kira usia. Malah, kanak-kanak ini akhirnya membuktikan usia muda tidak membantutkan ran­cangannya untuk me­rea­li­sa­sikan idea yang dianggap pe­lik dan gila itu. Kanak-kanak ini patut berasa bertuah kerana dibantu oleh guru besar dan seorang penolong kelas. Mu­ngkin tanpa ban­tuan mereka, hasratnya un­tuk me­nubuhkan bank berkubur.

Kita patut mengambil ik­tibar kisah kanak-kanak ini. Pertama, jangan pan­dang rendah tentang ke­upa­yaan kanak-kanak. Me­reka juga boleh melahirkan idea yang mungkin pelik bagi golongan dewasa tetapi jika dilaksanakan memberi impak besar kepada masyarakat. Ke­dua, perlu adanya budaya me­mupuk kanak-kanak kecil melontarkan idea mereka agar dapat direalisasikan. Perkara ini cukup penting bagi memacu kualiti modal insan yang lebih terserlah dalam semua bidang.

Dalam hal ini, kita boleh lihat bagaimana ke­ti­dak­seim­bangan pendapatan berlaku dalam negara kita. Menurut La­­poran Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza yang di­keluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), kualiti modal insan adalah jalan penyelesaian dalam me­na­ngani isu ketidakseimbangan pendapatan.

Jadi, bagaimana caranya kita ingin memacu kualiti modal insan? Tidak lain tidak bukan dengan memacu kualiti pen­didikan. Melalui kualiti pendidikan yang tinggi, negara dapat mengeluarkan ramai golongan yang boleh mencipta peluang sebagai majikan dan menjadi pekerja yang cukup cemerlang. Dengan ini, dapat merangsang penjanaan sum­ber kewangan melalui peluang-peluang yang lebih segar bersesuaian dengan keadaan semasa dan masa hadapan.

Kita boleh ambil iktibar bagaimana negara seperti Finland merangka dan melaksanakan strategi untuk memacu sistem pendidikan mereka. Bagaimana mereka boleh berubah ke­pada satu sistem pendidikan yang begitu bagus dan berjaya di peringkat global? Melalui sistem pendidikan yang cukup bagus, peratusan keciciran pelajar begitu rendah sekali. Rakyat mereka amat menghargai pendidikan sebagai sesuatu yang begitu bernilai dalam hidup mereka. Ini termasuklah profesion perguruan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat mereka.

Dalam hal ini, tidak boleh dinafikan modal insan dan sistem pendidikan sesebuah negara tidak boleh dipisahkan. Ini bagi menjadikan sesebuah negara lebih cemerlang pada masa akan datang dan dapat menangani pelbagai isu yang berlaku.

PROF. MADYA DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN