TANGKAK 18 Okt. – Pemuda UMNO Bahagian Ledang dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Johor menggesa Pejabat Mufti Negeri campur tangan terhadap penamatan khidmat 65 Pegawai Penyelaras dan Penggerak Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) di seluruh negeri yang berkuat kuasa 3 Oktober lalu.
Gabungan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sependapat adalah sesuatu yang mengejutkan kerana pelantikan bukan berasaskan politik tetapi kebolehan mereka membimbing generasi muda Islam supaya mempunyai nilai-nilai baik melalui program Sakinah.
Yang Dipertua Perkasa Johor, Ghaus Mohd. Yusoff berkata, campur tangan pejabat mufti itu penting kerana mereka adalah sebahagian daripada tokoh masyarakat Islam yang berpengaruh.
“Mereka juga tokoh yang diperlukan untuk membantu mewujudkan masyarakat Islam berakhlak mulia sejak daripada zaman kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang diketuai Ariffudin Wagiman di bilik gerakan UMNO Cawangan Taman Tun Syed Nasir, Tanjung Agas, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Perkasa Bahagian Ledang yang juga Pengerusi Veteran UMNO bahagian tersebut, Hamdi Yassin dan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Ariffudin Wagiman.
Pada 3 Oktober lalu semua Pegawai Penyelaras dan penggerak (YPKDT) itu menerima surat penamatan perkhidmatan mereka yang ditandatangani Ketua Eksekutif yayasan itu, Mohd. Helmy Datuk Sha’ri @ Shangari.
Difahamkan setiap pegawai penyelaras menerima elaun bulanan sebanyak RM1,800 manakala penggerak dibayar RM1,500 sebulan.
Ghaus berkata, tindakan penamatan terhadap pegawai-pegawai itu, sebahagian masih dalam kontrak hingga tahun depan sedikit sebanyak merencat usaha mendidik anak-anak Melayu Islam supaya mereka mempunyai nilai-nilai murni yang dituntut Islam.
Sementara itu, Ariffudin yang sependapat berkata, tindakan itu tidak adil kerana tugas pegawai berkenaan hanya mengendalikan kursus kefahaman tentang keluarga sakinah dan bukan berunsur politik.










