Kes Zunar saman PDRM, kerajaan, selesai - Utusan Malaysia

Kes Zunar saman PDRM, kerajaan, selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kes saman kartunis Zunar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan atas dakwaan menahannya secara salah dan merampas buku karyanya pada satu majlis kira-kira dua tahun lalu, selesai.

Penyelesaian itu menurut peguam Latheefa Koya yang mewakili Zunar direkodkan oleh Hakim Datuk Su Geok Yiam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut peguam itu, pihak polis bersetuju memulangkan semula barang rampasan iaitu baju- T dan buku-buku bersama jumlah bayaran yang telah dipersetujui (tidak didedahkan).

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan yang mewakili PDRM dan kerajaan yang dinamakan sebagai pihak defendan memohon perintah penghakiman persetujuan itu direkodkan bersama terma-terma yang dipersetujui.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarule Haque selaku pihak plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan 16 anggota polis, dua pegawai, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan selaku pihak defendan.

Zunar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, pihak polis telah menyerbu majlis minum petang anjurannya di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH) pada 17 Disember 2016 sebelum acara bermula pada pukul 3 petang dan buku serta baju-T miliknya dirampas.

Dalam serbuan itu, pihak plaintif mendakwa pihak polis turut menangkap pembantunya dan dua orang awam yang menghadiri majlis berkenaan tanpa memberikan sebarang alasan mengenai tangkapan dan rampasan tersebut.

Pihak plaintif mendakwa, sejumlah 1187 naskhah buku dan 103 helai baju-T dirampas dan polis memaklumkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen).

Zunar menyatakan, dia bersama pembantu dan dua orang awam yang ditangkap dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dibebaskan pada pukul 3 pagi, keesokkannya.

Tangkapan dan rampasan itu bagi pihak plaintif, tidak sah sehingga menyebabkan dirinya mengalami kehilangan serta kerugian.

Zunar sehubungan itu menuntut ganti rugi khas RM22,388 atau secara alternatif memulangkan buku dan baju-T yang dirampas, ganti rugi penangkapan secara salah, ganti rugi kecuaian, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perisytiharan bahawa defendan memungkiri kebebasan asasi plaintif. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN