Kerajaan Selangor teliti laporan banjir kilat - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor teliti laporan banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor akan meneliti  laporan berkaitan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini sejak beberapa hari lepas untuk tindakan lanjut.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, ia termasuklah menyemak semula aspek penyelenggaraan di kawasan-kawasan terlibat.

“Laporan ini akan diteliti dan dibincangkan dalam satu mesyuarat bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri petang ini. Saya akan lihat laporan (faktor berlakunya banjir kilat) kerana kadang kala ia disebabkan taburan hujan yang tinggi, bagaimanapun setakat ini semuanya terkawal.

“Untuk kejadian ribut di Klang pula, walaupun ribut agak keras dua hari lepas namun pasukan kita terutamanya Majlis Perbandaran Klang telah bergerak pantas untuk atasi bencana yang melanda kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pro Canselor Universiti Selangor di sini, hari ini.

Semalam, hujan yang sangat lebat lebih dua jam sejak pukul 4.00 petang mengakibatkan banjir kilat di KM 23.4-KM 24 arah selatan berdekatan IOI Mall di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di Bandar Puteri Puchong dekat sini.

Pada Isnin pula, angin kencang berserta hujan lebat lebih dua jam di beberapa kawasan di Klang mengakibatkan kerosakan teruk kepada sejumlah kenderaan, kemudahan awam dan bangunan.

Kejadian ribut itu turut menyebabkan 86 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sekitar Klang sejak semalam susulan kerosakan pada kediaman mereka. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN