KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta bertindak untuk membela nasib 20,000 pekerja MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) yang kehilangan pekerjaan selepas kontrak bagi kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) ditamatkan.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, jika kerajaan PH boleh membuat tindakan luar kelaziman dengan membatalkan kontrak sewenang-wenangnya maka kerajaan juga boleh mengambil tindakan di luar kotak membela pekerja yang terkesan.
“Sebelum ini PH mencemuh Barisan Nasional (BN) kononnya projek kerajaan yang diberi kepada China menggunakan pekerja asing.
“Namun apabila MMC-Gamuda, syarikat tempatan yang menggaji lebih 60 peratus pekerja tempatan dibatalkan kontrak mereka, apakah jaminan kontraktor yang akan dilantik akan mengambil pekerja tempatan,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, MMC Gamuda berkata, lebih 20,000 tenaga kerja terlibat adalah daripada rantaian bekalan meliputi lebih 600 syarikat Malaysia. – UTUSAN ONLINE










