Kerajaan perlu galakkan pemilikan rumah - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu galakkan pemilikan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Mah Sing Group Bhd. berharap kerajaan akan terus menggalakkan pemilikan rumah sendiri khususnya kepada pembeli rumah kali pertama dengan melonggarkan garis panduan pinjaman perumahan.

Pengarah Urusan Mah Sing Group Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, industri hartanah berdepan cabaran dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya dise­babkan isu kelayakan pinjaman.

“Kami menunggu Dasar Perumahan Negara yang akan diperkenalkan dan inisiatif baharu yang dijangka memberi manfaat kepada pembeli rumah kali pertama, selain menangani permintaan terhadap rumah mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai harapan syarikat itu dalam Bajet 2019.

Beliau berkata, industri hartanah mempunyai kesan pengganda yang lebih besar berbanding industri lain, sewajarnya memberi kesan le­bih besar terhadap ekonomi yang lebih luas.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan akan meneruskan penge­cua­lian perbelanjaan duti setem untuk pembeli rumah kali pertama dan memperluas insentif bagi hartanah mampu milik berharga kurang daripada RM500,000.

“Inisiatif kerajaan menge­cualikan 100 peratus duti setem hartanah untuk rumah pertama berharga di bawah RM300,000 ketika ini adalah langkah yang baik bagi mengurangkan beban kepada pembeli rumah pertama.

“Namun, kami berharap inisiatif tersebut akan diperluas kepada hartanah pertama berharga di bawah RM500,000 dengan mengambil kira harga hartanah mampu milik di bandar-bandar utama di Malaysia,”katanya.

Sebagai pemaju hartanah, Hoy Kum berharap kerajaan akan mengurangkan kos pematuhan berikutan ia merupakan faktor terpenting yang memberi kesan kepada aliran tunai pemaju.

“Kami juga berharap kerajaan dapat mengadakan kempen pemilikan rumah dengan kerjasama semua pihak berkepen­tingan untuk mewujudkan pelan strategik bagi menggalakkan pemilikan rumah khusus­nya rumah mampu milik. Usaha ini akan membantu mengurangkan rumah yang tidak terjual di pasaran,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN