KUALA LUMPUR 18 Okt. — Tindakan ‘bertalu-talu’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerang pemimpin UMNO dilihat sebagai langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk menekan dan melemahkan parti Melayu terbesar itu.
Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun berkata, tindakan penahanan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan terbaharu barangkali disusuli dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu memburukkan UMNO di mata rakyat dan memadamkan nama UMNO dalam kancah politik negara.

Perkara itu juga katanya, dilihat sebagai usaha awal untuk mengharamkan parti terbesar Melayu di negara ini.
“Usaha untuk mengharamkan UMNO ini biarpun tidak ada sebarang kenyataan rasmi di pihak kerajaan, namun perkara itu bukanlah satu rahsia lagi dalam kalangan ahli politik, bahawa sememangnya wujud usaha ke arah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Masliha turut mempersoalkan mengapa hanya pemimpin UMNO sahaja yang diserang dan bukan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti lain. – UTUSAN ONLINE










