MACHANG 5 Okt.- Keputusan pemilihan peringkat cabang ini ditangguhkan bagi menilai kembali undi ragu.
Ketua Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) negeri, Ahmad Amin Deraman berkata, ini kerana majoriti undi pemenang adalah lebih kecil daripada undi ragu.
Beliau berkata, undi ragu tersebut akan di bawa ke JPP Pusat untuk dinilai dan dalam tempoh seminggu keputusan akan diumumkan.
“Undi ragu ini bukan undi yang meragukan. Undi ini dikategori ragu disebabkan kesilapan maklumat peribadi seperti ejaan nama atau kesalahan pada no kad pengenalan ahli.
“Biarpun ada kesilapan pada maklumat peribadi, kita masih memberikan peluang kepada mereka untuk mengundi tetapi status mereka akan dilihat semula selepas ini tetapi jika keputusan pemilihan menunjukkan jumlah majoriti undi jauh melebihi undi ragu maka undi ragu tidak akan diambil kira,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, keputusan tidak rasmi, Mohd. Ridzuan Alias berjaya menewaskan pencabarnya, Nor Azham Yahya dengan majoriti 11 undi bagi jawatan Ketua Cabang Machang.
Keputusan itu tidak dapat disahkan kerana terdapat 41 undi ragu. – UTUSAN ONLINE










