SEGALA-galanya terserah kepada Datuk Lee Chong Wei.
Demikian pendapat ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek terhadap masa depan bekas pemain No. 1 dunia itu selepas pulih daripada kanser hidung peringkat awal yang dihidapinya ketika ini.
“Dia sedang melalui satu dugaan yang terlalu berat dalam hidupnya. Saya harap dia terus bersabar, tenang serta fokus terhadap rawatan yang sedang dijalani.
“Saya pun tidak pasti (Chong Wei kembali ke gelanggang) buat masa sekarang. Dia juga perlu tahu sama ada kanser itu boleh merebak kembali atau tidak jika meneruskan aktiviti sukan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Legenda badminton negara itu juga berharap anak buahnya itu membuat keputusan terbaik selain percaya Chong Wei masih memiliki aura serta kualiti untuk kembali menjadi pemain terbaik dunia sekiranya kembali aktif dalam sukan berkenaan.











