KUNAK – Keperluan penambahan siren amaran awal tsunami di Kunak akan diteliti, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.
Katanya, perkara itu bertujuan kepentingan melengkapkan persediaan penduduk menghadapi bencana tsunami.
“Kami sedang meneliti perkara ini, kami sudah merujuk kepada pihak berwajib untuk memastikan siren amaran awal ini mencukupi.
“Selain itu, bukan setakat penambahan siren tetapi kami juga mahu memastikan jumlah kakitangan bertugas cukup sekiranya berhadapan sebarang bencana,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak itu kepada Bernama.
Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Felix Tongkul sebelum ini berkata, berdasarkan simulasi tsunami dan gempa bumi dari Peparit Sulawesi Utara di Laut Sulawesi menghasilkan ombak tsunami ke Kunak dan masa ketibaan di daerah itu sekitar 30 minit. – Bernama










